Soalan Lazim | FAQs

Apakah dia perkhidmatan pembayaran zakat fitrah menggunakan perkhidmatan i-Zakat?

Perkhidmatan pembayaran zakat fitrah melalui perkhidmatan i-Zakat merupakan perkhidmatan alternatif bagi pembayaran zakat fitrah secara dalam talian. Dibukakan kepada pengguna-pengguna yang mempunyai kad debit daripada mana-mana institusi kewangan.

Adakah pembayaran zakat menggunakan perkhidmatan i-Zakat Fitrah sah dan bertepatan dengan hukum syara’?

Merujuk Fatwa Mufti Kerajaan, Negara Brunei Darussalam melalui siri Fatwa (16/2020) Bil. 24-1/2/5Ej(2) bertarikh 18 Syawal 1441 bersamaan 10 Jun 2020 telah menyatakan bahawa pembayaran zakat dalam talian adalah harus dan sah kerana ia memenuhi tatacara yang ditetapkan oleh syara’ dalam pembayaran zakat.

Siapakah yang boleh menggunakan perkhidmatan i-Zakat Fitrah?

Semua pelanggan perbankan yang mempunyai kad debit.

Bilakah perkhidmatan i-Zakat Fitrah ini akan mula digunakan?

i-Zakat Fitrah akan bermula pada 1 Ramadhan 1447H dan berakhir pada 27 Ramadhan 1447H bersamaan dengan hari Khamis, 19 Februari hingga Rabu, 18 Mac 2026M pada jam 11:59 malam.

Bagaimanakah cara untuk membayar zakat menggunakan perkhidmatan i-Zakat Fitrah?

Pembayaran i-Zakat hanya boleh dibuat menggunakan kad debit sahaja.

Apakah kategori pembayaran zakat fitrah menggunakan perkhidmatan i-Zakat Fitrah?

Kategori pembayaran adalah seperti berikut:

  • Bayaran i-Zakat Fitrah Untuk Diri Sendiri
  • Bayaran i-Zakat Fitrah Untuk Diri Sendiri Dan Tanggungan
  • Bayaran i-Zakat Fitrah Untuk Orang Yang Berwakil
  • Bayaran i-Zakat Fitrah Untuk Orang Yang Berwakil Dan Tanggungan

Apakah syarat-syarat bagi pembayaran zakat fitrah menggunakan perkhidmatan i-Zakat

Pembayar zakat dan orang yang berwakil serta tanggungan hendaklah memenuhi syarat-syarat berikut:

  • Berugama Islam
  • Berada di Negara Brunei Darussalam. Ini juga termasuk bagi orang yang berwakil.
  • Hendaklah menggunakan kad debit sahaja.

Apakah sebab-sebab perkhidmatan i-Zakat Fitrah ini tidak dapat diteruskan?

Perkhidmatan i-Zakat tidak dapat diteruskan jika pembayar zakat beserta tanggungan tidak berada di Negara Brunei Darussalam.

Bagaimanakah melafazkan niat untuk pembayaran zakat menggunakan perkhidmatan i-Zakat Fitrah?

Lafaz niat zakat fitrah menggunakan perkhidmatan i-Zakat Fitrah perlu dibaca selepas pembayaran telah berjaya. Paparan peringatan bagi bacaan lafaz niat zakat ada disediakan dan diikuti dengan doa bagi orang yang berzakat.

Laman Utama