Home | i-Zakat
i-Zakat Banner
  • Zakat Fitrah
  • Pengertian
  • Kadar
  • Syarat
  • Waktu Membayar

Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) dan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) telah bekerjasama dengan Imagine Sdn. Bhd. (imagine) untuk melancarkan pembayaran "i-Zakat Fitrah".

Platform pembayaran i-Zakat Fitrah akan bermula pada 1 Ramadhan 1447H dan berakhir pada 27 Ramadhan 1447H bersamaan dengan hari Khamis, 19 Februari hingga Rabu, 18 Mac 2026M pada jam 11:59 malam. Perkhidmatan ini adalah sebagai alternatif kepada kaedah konvensional bersemuka dengan amil.

Pembayaran zakat fitrah secara dalam talian adalah harus dan sah sebagaimana merujuk ketetapan Fatwa Mufti Kerajaan, Negara Brunei Darussalam melalui siri Fatwa (16/2020) Bil.24-1/2/5Ej(2) bertarikh 18 Syawal 1441 bersamaan 10 Jun 2020.

Zakat Fitrah juga dikenali dengan zakat badan.

Zakat Fitrah ialah sejumlah makanan dengan jenis dan sukatan tertentu yang wajib dikeluarkan pada hari raya puasa oleh setiap orang Islam yang mempunyai lebihan makanan bagi dirinya dan orang dibawah tanggungannya bagi siang dan malam 1 Syawal.

Kadar Zakat Fitrah di Brunei bagi setiap orang Islam adalah berdasarkan harga beras 2 kilogram 268 gram (2kg 268g):

  • Beras Siam - $1.93
  • Beras Wangi - $2.84

Adalah harus yakni sah mengeluarkan Zakat Fitrah dengan salah satu Kategori beras (Beras Wangi atau Beras Siam).

Secara umumnya, kadar zakat fitrah yang ditunaikan adalah mengikut harga beras yang biasa dimakan. Dalam pada itu, sesiapa yang pada kelazimannya memakan beras siam dan juga memakan beras wangi, maka adalah afdhal (lebih baik) baginya mengeluarkan zakat fitrah dengan kadar kiraan Beras Wangi.

Syarat wajib Zakat Fitrah adalah:

  • Berugama Islam.
  • Mempunyai harta lebih dari keperluan untuk dirinya dan tanggungannya pada malam dan siang 1 Syawal.
  • Hidup pada akhir bulan Ramadhan dan pada permulaan bulan Syawal.

Waktu membayar Zakat Fitrah adalah:

  • Waktu Harus: Sejak dari awal bulan Ramadhan.
  • Waktu Sunat: Selepas sembahyang Subuh sehingga imam mendirikan sembahyang Hari Raya.
  • Waktu Wajib: Setelah terbenam matahari akhir bulan Ramadhan.
  • Waktu Makruh: Selepas sembahyang Hari Raya sehingga terbenam matahari Hari Raya.
  • Waktu Haram: Setelah terbenam matahari Hari Raya pertama. Bahkan perbuatan ini adalah suatu dosa namun wajib dibayar juga sebagai qadha, kerana dikeluarkan di luar waktu.

Sila rujuk Panduan Pengguna bagi tatacara menggunakan i-Zakat Fitrah.
Untuk keterangan lanjut, sila layari Soalan Lazim 'FAQs' i-Zakat Fitrah